12-cEriTa sErAm kAki pAnciNg

Badrul ghaib dari bot, muncul di pulau

SATU trip ekspedisi memancing laut diatur rapi oleh Razak, seorang pemancing serba boleh yang dilahirkan di Sabak Bernam, tetapi dibesarkan dalam keluarga nelayan di perairan Dungun, Terengganu.

Berbekal semangat pelaut yang tinggi, Razak mengatur program musim cuti sekolah untuk membawa beberapa rakan lamanya memancing di sekitar karang dan tukun semula jadi di perairan Dungun yang kaya dengan ikan karang gred A atau sotong untuk bermain dengan candat.

Sepuluh orang pemancing dibawa sekali gus untuk meneroka laut sebelah sini untuk menguji kemahiran memancing yang setengah daripada mereka sudah lupa dengan teknik memancing laut kerana lama meninggalkan joran pancing.

Mengingati semula detik manis dan menakutkan ketika ekspedisi sepuluh tahun lalu, tekong Tok Dol (bukan nama sebenar) menceritakan detik manis ketika mencandat sotong pada malam pertama yang lokasinya tidak jauh dari pantai Dungun.

Mereka bagaikan berpesta dan sotong sangat menjadi pada malam itu. Setiap kali candat diturunkan janji yang pasti terjawab sotong tentu mengena paling tidak seekor antara tiga mata candat yang dilabuhkan.

“Mereka sangat seronok terutama dari kalangan yang sudah lama tidak turun mencadat sotong,” cerita Tok Dol yang berusia 25 tahun ketika itu.

Dari lokasi pertama, mereka berpindah agak jauh kerana ingin mencari lubuk ikan tambak yang disyorkan oleh Razak.

Tepat 2 pagi, cuaca baik. Angin bertiup lembut bermain sama dengan anak gelombang, karang tambak ditemui. Razak yang sudah bersedia daripada awal berjaya jadi pemancing pertama mendaratkan ikan tambak melalui umpan daging sotong segar yang dihiris memanjang.

Rakan lain mengikut teknik Razak dan hasilnya tidak menghampakan. Sepuluh pemancing rakan pilihan Razak berpesta ikan tambak. Waktu ikan tambak memburu umpan sudah hampir tamat, apabila arus air laut mula deras. Justeru, kumpulan itu dibawa oleh tekong Tok Dol ke unjam dalam satu kawasan yang dipenuhi dengan bubu.

Unjam tetap menjanjikan ikan kecil seperti selar, tamban, kembung dan selayang dan sesekali berjaya mendaratkan ikan kerisi merah.

Ada rancangan untuk menjenguk lebih jauh membawa perjalanan enam jam tapi kurang disenangi oleh tekong Tok Dol kerana bimbangkan cuaca boleh berubah pada bila-bila masa saja.

Malam itu, saat terakhir ekspedisi mereka dan mendapati bahawa kemungkinan ribut akan turun. Jadi sebagai persiapan, mereka mencari tempat berlindung lebih awal. Bot berlabuh di tepi sebuah pulau kecil yang biasanya tidak disentuh gelombang besar walaupun ribut kencang melanda di sekitar kawasan berkenaan.

Peristiwa menakutkan berlaku malam itu sebaik saja mengetahui bahawa Badrul dari Pahang hilang apabila diperiksa Tok Dol.

Kumpulan itu gempar terutama Razak, kerana sebelum ini Badrul sering bersungut untuk mendapatkan tempat tidur yang selesa dalam bot. Tekong Tok Dol tidak menunjukkan rasa cemas tetapi sentiasa melempar pandangan pada sebuah lain yang kelihatan berbalam tidak jauh dari pulau kecil tempat mereka berteduh.

“Dia tak hilang, cuma ada di tempat lain,” kata Tok Dol memecah ketakutan mereka. Namun dia sendiri masih belum yakin.

Awal subuh esoknya bot bergerak ke sebuah pulau yang lebih besar dari pulau tempat mereka berteduh.

Tok Dol tidak sepatah pun bercakap tetapi terus menurunkan sebuah sampan gantian kecil lalu berkayuh menuju ke pulau berkenaan. Kumpulan pemancing berpandangan sesama sendiri.

Tidak lama selepas itu, Tok Dol berjaya membawa Badrul pulang semula ke dalam bot dalam keadaan lemah.

“Aku dapat tidur lena dalam bilik hawa dingin. Tidaklah sempit macam dalam bot ini,” cerita Badrul sebaik saja berada dalam bot.

Semua berpandangan sesama sendiri manakala tekong Tok Dol meneruskan perjalanan pulang dan berjaya memulihkan semangat dan ingatan Badrul seperti sedia kala sebaik tiba di darat.

Siapa membawa Badrul ke pulau? Ia menjadi misteri yang belum dapat dijawab.

Justeru, pemancing kena berhati-hati dan sentiasa mohon pertolongan dari Allah dari sebarang kejahatan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: